KUANTAN: Seorang tukang mozek kerugian RM29,000 selepas terpedaya dengan seorang janda melalui satu sindiket jual beli barang dalam aplikasi dikenali sebagai Ubei.
Mangsa, Foong Mun Fei, 42 berkata, dia mengenali janda terbabit pada 5 Disember lalu melalui aplikasi Facebook sebelum kemudiannya melanjutkan perbualan mereka menerusi WhatsApp.
Katanya, janda dikenali sebagai Xue itu pada awalnya ingin berkenalan dengannya bagi mencari teman hidup selepas bercerai dengan suaminya.
Bagaimanapun, seminggu selepas perkenalan mereka menerusi WhatsApp, Xue menunjukkan kepada Mun Fei tangkap layar aplikasi Ubei (Engoogo.com) menunjukkannya sudah memasukkan wang berjumlah RM30,000 di dalam aplikasi itu.
“Xue meyakinkan saya jika saya membeli barang berupa jam tangan dan barang kemas dalam Ubei, saya akan memperolehi keuntungan daripada barangan yang saya beli.
“Pada mulanya saya memasukkan wang sebanyak RM1,000 dan dari situ saya telah ditunjukkan di dalam aplikasi itu saya telah memperoleh keuntungan RM250.
“Kemudian saya memasukkan wang RM25,000 dan kali ketiga RM3,000, namun saya gagal mendapatkan kembali kesemua wang saya dan keuntungan yang dinyatakan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu di sini hari ini.
Mun Fei juga memberitahu, dia melakukan tiga kali transaksi wang ke tiga akaun berbeza sebelum menyedari tertipu dan kehabisan wang simpanan.
“Saya lihat nombor telefon WhatsApp masih aktif namun apabila saya cuba menghubungi Xue, dia tidak membalas dan menjawabnya.
“Saya membuat laporan polis pada 25 Disember lalu dan berharap agar pihak polis dapat melakukan siasatan berkaitan kes ini selain turut menasihatkan kepada orang ramai agar tidak turut menjadi mangsa penipuan sebegini,” katanya.
Sementara itu, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pihaknya sudah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis bagi menangani masalah sindiket penipuan yang semakin berleluasa.
“Kita minta agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan dalam masa sama menasihatkan mana-mana pemilik akaun agar tidak terpedaya dan tidak meminjamkan akaun mereka kepada pihak lain kerana bimbang akan disalahgunakan untuk aktiviti penipuan ini,” katanya. – UTUSAN