KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya menzahirkan penghormatan serta istiadat ketenteraan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Istiadat Keberangkatan Balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang diadakan di Pangkalan Udara (PU), Kuantan, semalam.
Turut berangkat bersama baginda ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan balik baginda berdua yang menaiki pesawat khas Airbus Corporate Jet 320 (ACJ 320) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuantan diiringi dua pesawat pejuang TUDM, iaitu F/A- 18D Hornet dari No. 18 Skuadron yang berpangkalan di PU Butterworth tiba di PU Kuantan kira-kira pukul 11.45 pagi.
Penglibatan pesawat pengiring TUDM ini merupakan satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM. Pesawat pejuang pertama diterbangkan oleh Mejar Mohammad Afendie Mohamad Idir TUDM dan Kapten Ahmad Nazhan Ahmad Nazrin TUDM manakala pesawat kedua diterbangkan oleh Mejar Mohd. Saifirudin Bahari TUDM dan Mejar Mohd. Izhar Mohd. Tarmizi TUDM.
Sebaik sahaja ketibaan, baginda disambut oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Turut menyambut ketibaan ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM mewakili Panglima Tentera Udara berserta dif-dif jemputan serta kerabat diraja.
Baginda berdua kemudian diiringi ke Pentas Diraja dan kemudiannya berkenan mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat (LLP) diketuai oleh Mejar Mohamad Erid Abdul Rahim TUDM.
Penglibatan panji-panji pula adalah Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dibawa oleh Kapten Muhammad Nashiruddin Zamri TUDM dan Panji-Panji No. 10 Skuadron yang dibawa oleh Kapten Mohd. Ridzuan Ahmad TUDM.
Panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM khususnya TUDM kepada raja dan negara.
KKU turut diiringi oleh Pancaragam Pusat TUDM diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohamad Rizal Mohamad Noor TUDM dan 60 anggota LLP serta tembakan kehormatan 21 das daripada Rejimen Ketujuh Artileri Diraja dari Kem Batu 3, Temerloh diketuai oleh Mejar Mohd. Yusuf Ahmad.
Baginda turut menerima persembahan khas drum line daripada Badan Kesenian Tentera Udara (BKTU) atau Air Force Drumline Corps berpangkalan di PU Subang dengan kekuatan seramai 12 anggota.
Turut sama 14 anggota Pengibar Bendera atau Colour Guard yang terdiri daripada penari BKTU.
Dianggarkan sekitar 10,000 terdiri daripada warga ATM serta rakyat jelata negeri ini hadir memeriahkan istiadat berkenaan.
Kementerian Pertahanan dan ATM secara keseluruhannya merakam ucapan penuh takzim dan merafak sembah tahniah serta menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah di atas kecemerlangan dan kejayaan baginda menggalas tugas dan amanah selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sepanjang lima tahun pemerintahan baginda. – UTUSAN