JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini akan mewujudkan sebuah Jawatankuasa bersama dengan kerajaan Singapura bagi memperincikan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, jawatankuasa itu akan membincangkan secara terperinci tentangJS-SEZ sebelum Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 kelak.
“Jawatankuasa bersama itu akan membincangkan mengenai sektor yang akan dibangunkan bersama, berkaitan dengan polisi dan insentif serta cadangan keluasan JS-SEZ tersebut.
“Kita berharap perkara itu dapat dimuktamadkan sebelum kita menandatangani perjanjian pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 pada suku keempat tahun ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tentang JS-SEZ di Hotel Double Tree, di sini hari ini.
MoU ditandatangani oleh Menteri Ekonomi, (MOE), Mohd. Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI), Gan Kim Yong yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong.
Ting Han berkata, majlis menandatangani MoU itu menunjukkan kesungguhan antara kedua negara, sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan menerusi JS-SEZ.
Katanya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini akan menubuhkan pusat sehenti khas bagi JS-SEZ bagi membantu pelabur dan pemain industri yang memerlukan agensi khas membantu pelaburan di Johor.
Katanya, JS-SEZ akan menjadi pemangkin pembangunan bagi negeri Johor, sekali gus melonjakkan ekonomi negeri ini.
“Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di negeri itu yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Johor dalam sektor pembuatan. Untuk Johor, republik itu rakan perdagangan terbesar sepanjang 30 tahun lalu. Perdagangan dengan Singapura telah mencecah RM200 bilion sehingga suku ketiga tahun ini, menunjukkan kepentingan hubungan baik dengan Singapura,” katanya.
Antara sektor yang diharapkan dengan kewujudan JS-SEZ ialah ekonomi digital, perbankan dan kewangan serta sebagainya dalam usaha memaksimumkannya bagi memberi pulangan kepada Johor.
“Sudah tentu industri konvensional seperti pembuatan, elektrik dan elektronik, pelancongan, perubatan dan sebagainya, industri saling melengkapi kekuatan Johor dan Singapura. Justeru, JS-SEZ ini perlu direalisasikan dan dapat dilaksanakan pada awal tahun depan,” katanya. – UTUSAN