TEMERLOH: Monumen ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) di Kampung Paya Siput, Lanchang di sini merupakan mercu tanda pendidikan dan produk pelancongan baharu daerah ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat perlu tahu di mana titik tengah Semenanjung dan ia berada di Lanchang.
“Ia juga secara tidak langsung sama seperti Greenwich Mean Time (GMT) di United Kingdom (UK).
“Walaupun tidak popular sangat, tapi ia sebahagian daripada pendidikan. Kita boleh bawa penuntut ke sini, ibu bapa mereka, jadi secara tidak langsung dapat menarik pelancong.
“Selain itu, ia (TTTS) juga satu produk (pelancongan) di daerah Temerloh. Di Lanchang kita ada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Taman Rusa,” titah baginda ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian TTTS di Kampung Paya Siput, Lanchang di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat perlu diberikan peluang menikmati keindahan di TTTS yang mempunyai bukit dan juga kolam ikan.
“Dulu, kawasan ini kawasan banjir, saya harap ia tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Boleh diperbesarkan lagi longkang di sini. Ia tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” titah baginda. – UTUSAN