Trend penipuan pelaburan catat kerugian RM44 juta dalam dua minggu pertama 2024 - Utusan Malaysia

Trend penipuan pelaburan catat kerugian RM44 juta dalam dua minggu pertama 2024

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Trend penipuan pelaburan secara dalam talian terus mencatatkan nilai kerugian tertinggi pada tahun lalu apabila sebanyak 5,389 kes direkodkan dengan nilai kerugian mencecah RM 472 juta.

Keadaan ini terus membimbangkan apabila kerugian sebanyak RM44 juta bersamaan 47.7 peratus direkodkan bagi tempoh awal tahun ini sehingga 15 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peningkatan mendadak ini menunjukkan ada sindiket yang cuba memancing mereka sehingga terjerumus menjadi mangsa penipuan.

Kata beliau, terdapat beberapa modus operandi digunakan sindiket penipuan pelaburan ini untuk mencari mangsa termasuk menggunakan nama individu berpengaruh seperti selebriti dan agamawan untuk mencari mangsa.

Ramli berkata, antara penipuan yang sering ditawarkan iaitu pelaburan berasaskan saham, forex dan matawang atau aset digital.

“Sebagai contoh, bagi pelaburan berasaskan saham, sindiket akan menggunakan media sosial sebagai medium untuk mengiklankan skim pelaburan.

“Melalui sistem algoritma yang diwujudkan oleh media sosial, iklan skim pelaburan tersebut dihantar kepada sasaran yang berpotensi untuk menjadi mangsa.

“Mangsa yang melihat iklan pelaburan akan menekan pautan yang tertera dan seterusnya berhubung dengan suspek melalui aplikasi whatsapp,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Ramli, selain itu, ada juga penipuan pelaburan yang menawarkan pelaburan tanpa risiko serta jaminan keuntungan yang tinggi telah mengakibatkan ramai individu tertarik.

“Kurangnya ilmu pengetahuan berkaitan pelaburan selain taktik pengiklanan dan pengoperasian skim pelaburan yang dilihat meyakinkan telah mendorong ramai mangsa mempercayai keabsahan skim pelaburan yang ditawarkan.

“Kita (polis) dapati sikap individu yang suka mengambil jalan mudah dan cepat bagi mencari keuntungan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, mereka yang berada dalam lingkungan 60 tahun ke atas lebih mudah menjadi sasaran mangsa penipuan.

“Berdasarkan rekod bagi tahun lalu, sebanyak 744 individu atau 13 peratus mangsa penipuan pelaburan direkodkan adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

“Jumlah ini merupakan peningkatan 213 peratus berbanding tahun 2022 yang hanya mencatatkan jumlah 237 individu dari kumpulan umur yang sama,” katanya

Ramli menegaskan, bagi memastikan kegiatan penipuan pelaburan ini dapat dibendung, PDRM ingin mengingatkan bahawa setiap pelaburan yang tulen mempunyai risiko kerugian.

Kata beliau, sejumlah 4,170 operasi telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu khusus untuk menumpaskan sindiket pelaburan.

Jelas beliau, daripada keseluruhan operasi tersebut, seramai 3,409 individu telah berjaya ditahan.

“Carilah ilmu pengetahuan yang berkaitan pelaburan dan fahami bentuk-bentuk pelaburan yang boleh disertai.

“Paling utama, jangan sesekali menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya