PORT DICKSON: Sebuah lori treler yang membawa buah kelapa sawit terbalik dan telah menyebabkan muatannya itu bertaburan di atas jalan raya dalam kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Lukut-Sepang dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan pada pukul 8.40 pagi itu juga menyebabkan muatan kelapa sawit terbabit telah mengenai tiga buah kereta yang lain.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori treler jenis Nissan dari arah Sepang, Selangor menghala ke Seremban, sampai ke lokasi kejadian lori itu telah hilang kawalan dan terbalik.
“Muatan buah kelapa sawit telah jatuh di atas jalan dan terkena bahagian sisi kanan kereta jenis Perodua Kelisa, Proton Persona dan Perodua Myvi yang dari arah bertentangan dan sedang berhenti di lampu isyarat.
“Tiada yang mengalami kecederaan daripada kemalangan berkenaan namun ia telah menyebabkan lalu lintas menjadi sesak namun berjaya dikawal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN.