KLUANG: Hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi menyebabkan sebahagian kawasan rendah di daerah ini dinaiki air sehingga paras pinggang.
Turut terlibat enam keluarga di Lorong Dua, Kampung Baru di sini yang menyebabkan air masuk ke dalam rumah dan turut ‘menghanyutkan’ tong gas serta periuk belanga.
Seorang penduduk, Emyliana Mohd Din, 25, berkata, air mula masuk ke dalam rumahnya kira-kira pukul 11 pagi selepas hujan lebat tanpa henti sejak tengah malam.
Pada mulanya dia menjangkakan air akan masuk ke dalam rumah lewat petang ini pada ketinggian separas lutut, namun air naik secara mendadak menyebabkan barang-barang yang diletak aras para khas turut ‘hanyut’ di dalam rumah.
“Namun, hingga pukul 2.30 petang ini paras air surut sedikit, tetapi saya jangkakan akan naik semula kerana hujan lebat hingga lewat petang ini.
“Melihat keadaan ini, kami sekeluarga telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tiga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, hingga pukul 4 petang, empat buah PPS telah dibuka menempatkan mangsa banjir.
Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah juga sudah digerakkan untuk menyelaras penempatan mangsa di semua PPS yang dibuka hari ini.
“Melihat keadaan hujan sekarang ini, dijangka akan berlaku kenaikan paras air di beberapa penempatan,” katanya. – UTUSAN