SHAH ALAM: Keputusan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi yang berpaling tadah dengan menyokong Kerajaan Perpaduan kononnya atas dasar kepentingan rakyat disifatkan sebagai menghina pengundi di kawasan tersebut.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, Dr. Zulkafperi dianggap sebagai wakil rakyat yang ‘hilang’ dan tidak memberikan perkhidmatannya kepada penduduk di kawasannya sejak dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya tidak hairan dan terkejut dengan tindakan dibuat oleh beliau kerana sikapnya itu sudah dihidu lebih awal. Dia sendiri pun tidak pernah membuka pejabat khidmat untuk menerima kunjungan rakyat, malah juga langsung tidak turun ke padang.
“Orang meninggal dia tak ziarah, undangan majlis perkahwinan pun tak dipenuhi. Walaupun sebagai pembangkang dan tak ada peruntukan, tak betul hendak kata orang Tanjong Karang minta peruntukan. Dia tak memahami kehendak pengundi di sana,” katanya ketika dihubungi.
Malah, menurut beliau, Dr. Zulkafperi sepatutnya menyedari kemenangannya di kawasan parlimen tersebut adalah disebabkan gelombang pengundi Melayu yang menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan menyokong Perikatan Nasional (PN).
“Bukannya sebab orang hendak sokong dia, sebab masa PRU14 pada 2018 sewaktu beliau mewakili Bersatu yang ketika itu bersama PH pun kalah,” tegasnya.
KEPUTUSAN
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Dr. Zulkafperi yang menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang ketujuh selepas Tan Sri Noh Omar mengambil keputusan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta-merta.
Keputusan tersebut dibuat beliau dengan rela hati atas alasan untuk menjamin kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan hidup rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.
Malah dalam kenyataannya, beliau turut menyeru penduduk dan pengundi di Tanjong Karang untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Madani dan mendoakan agar kawasan parlimen itu mendapat limpahan pembangunan sebagaimana diharapkan.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ketua Bahagian UMNO Tanjong Karang mendedahkan, Dr. Zulkafperi gagal memenuhi peranan sebagai Pengerusi PN Tanjong Karang terutama ketika parti berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.
Menurutnya, tiada gerak kerja bersungguh-sungguh dilakukan oleh Dr. Zulkafperi menunjukkan beliau tidak mempunyai semangat sayangkan parti dan pengundi-pengundi di Tanjong Karang.
“Dari situ sudah dapat agak suatu masa Dr. Zul (Zulkafperi) akan sabotaj parti. Masa penamaan calon PRN pun saya terkejut dia tak turun menunjukkan sokongan kepada calon, ketika itu saya fikir beliau tak ada jiwa orang politik dan sayangkan parti.
“Mungkin ini kali terakhir beliau sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang. Dr. Zul buat macam itu untuk kepentingan diri sendiri. Beliau memang tak akan dicalonkan lagi dalam pilihan raya akan datang. Beliau pemimpin yang tak memahami perjuangan parti,” jelasnya.- UTUSAN