PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham cuba mengaitkan parti itu dan Pas dalam insiden kebakaran kediamannya sebagai sangat tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan, urusan agama Islam tidak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.
“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain.
“Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kejadian sebegini agar berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan, apatah lagi jika ia menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelangga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan, Koo Ham cuba mengaitkan punca kebakaran dengan disebabkan pelakunya terpengaruh dengan kritikan pemimpin pembangkang.
Ia susulan kenyataan beliau berkenaan cadangan melantik pakar bukan Islam dalam jawatankuasa mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang syariah.
Terdahulu, Hamzah berkata, perbuatan khianat pihak tertentu sehingga menyebabkan beberapa kenderaan pemimpin DAP itu terbakar tidak boleh diterima sama sekali dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.
“Polis perlu segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu kerana perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni,” katanya.