KOTA TINGGI: Tiga termasuk seorang guru maut dalam kemalangan di Jalan Besar Felda Air Tawar 1, dekat sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Shawaluddin Ami Nordin berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 6.49 pagi.
“Setibanya pasukan di lokasi kejadian didapati benar berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan Perodua Myvi dan Proton Gen2.
“Perodua Myvi dinaiki dua orang lelaki dengan salah seorang daripadanya tersepit akibat kemalangan itu, manakala Proton Gen2 dinaiki seorang mangsa yang turut tersepit.
“Semua mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadiaan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anggota bomba menggunakan pemotong bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis.
Mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. – UTUSAN