Tiga pantai awam di Port Dickson jadi kawasan larangan aktiviti perkhemahan - Utusan Malaysia

Tiga pantai awam di Port Dickson jadi kawasan larangan aktiviti perkhemahan

ANGGOTA penguat kuasa dari Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) meminta pengunjung supaya tidak memasang khemah di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak tiga kawasan pantai awam di Port Dickson telah ditetapkan sebagai kawasan larangan perkhemahan berkuat kuasa serta merta.

Menerusi notis pemakluman yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), tiga pantai tersebut adalah Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, larangan tersebut dikeluarkan selepas pelbagai aduan diterima terutamanya khemah yang didirikan itu telah mengganggu pengunjung lain untuk ke kawasan pantai.

“Isu yang timbul apabila banyak khemah didirikan yang mengganggu pengunjung lain untuk sampai ke pantai, ada juga yang menggunakan kemudahan wakaf untuk didirikan sebagai tempat perkhemahan mereka.

“Ini sesuatu perkara yang tidak harus berlaku, mesti pastikan ia harus tersusun dan ikut peraturan ditetapkan. Saya telah sampaikan mesej saya kepada MPPD, mereka kena bertegas, mudahkan pelancong untuk datang ke Port Dickson tanpa ada masalah.

“Banyak rungutan diterima daripada pelancong yang hadir, ia juga boleh mengganggu perniagaan, saya tidak mahu nanti peniaga merungut kerana bilangan pengunjung yang hadir semakin berkurangan, saya tidak mahu pelancong kecewa apabila mereka datang ke Port Dickson,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menambah, orang ramai yang mahu berkhemah boleh melakukan aktiviti itu di beberapa kawasan yang telah ditetapkan sahaja.

“Mereka boleh bentang tikar sahaja, jangan ada khemah, tidak sesuai dan mengganggu orang lain, kalau mahu berkhemah, ada kawasan disediakan.

“Saya tidak mahu berlakunya kejadian (di luar kawalan), berada dalam khemah berlaku sesuatu, nanti yang dapat masalah adalah pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri juga dipersalahkan.

“Dalam khemah tidak nampak, gelap, boleh berlaku macam-macam, saya tidak mahu perkara ini tidak ada peraturan, notis nasihat akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil,” katanya.

Sementara itu, menerusi notis pemakluman yang dikeluarkan itu, sebarang pelanggaran terhadap larangan tersebut, tindakan boleh diambil di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPPD) 2008 dan boleh dikompaun sebanyak RM1,000.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya