Tiga jam selamat tapir seberat 250kg patah kaki - Utusan Malaysia

Tiga jam selamat tapir seberat 250kg patah kaki

ANGGOTA APM dan Perhilitan menyelamatkan tapir cedera di Jalan Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seekor tapir yang patah kaki berjaya diselamatkan dalam tempoh lebih tiga jam selepas terperangkap di Jalan Parit 16, Sungai Panjang di sini, semalam.

Kejadian pukul 5.30 petang itu melibatkan tapir seberat lebih 250 kilogram (kg) yang cedera dipercayai akibat dilanggar kenderaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sabak Bernam, Mohd. Hairi Ibrahim berkata, sepasukan lima anggota dari Sabak Bernam bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, pemeriksaan mendapati seekor tapir mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki belakang.

“Anggota APM kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mendapatkan bantuan menyelamatkan haiwan itu.

“Usaha menggunakan peralatan dan sangkar itu sukar kerana berat tapir berkenaan dianggarkan lebih 250 kg,” katanya hari ini.

Jelas Mohd. Hairi, faktor tebing tinggi dan keadaan tapir yang lemah juga menyulitkan operasi berkenaan.

“Namun, haiwan itu berjaya diselamatkan selepas lebih tiga jam dan dibawa naik ke jalan utama.

“Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pukul 10 malam tadi,” ujarnya.

Tambah beliau, tapir itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya