Tiga geng pecah dijel 22 bulan, didenda ceroboh, kurung penghuni inap desa - Utusan Malaysia

Tiga geng pecah dijel 22 bulan, didenda ceroboh, kurung penghuni inap desa

TIGA ahli Geng Pecah Rumah Che Wan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas pertuduhan melakukan pencerobohan, kurungan salah dan menghalang penjawat awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tiga ahli Geng Pecah Rumah Che Wan dijatuhi hukuman penjara 22 bulan dan denda oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah  melakukan pencerobohan, kurungan salah dan menghalang penjawat awam, hujung tahun lalu.

Kesemua tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Ikhwan Mohd. Sharif, 33, dan Muhamad Badry Muhamad Azami, 23, didakwa melakukan pencerobohan dengan masuk ke bilik penghuni lain di inap desa  sebuah hotel di Desaru Bandar Penawar pada pukul 11 pagi, 21 Disember 2023.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua didakwa dengan sengaja mengurung lima penghuni inap desa tersebut pada tarikh serta waktu yang sama dan mereka didakwa di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, mereka didakwa menghalang tugas polis kerana enggan membuka pintu bilik untuk mengelak daripada pemeriksaan pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama dan dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khiruddin Khalid, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Muhammad Fitri menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dari tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama, hukuman penjara satu tahun dan denda RM1,000 jika gagal boleh dipenjara selama tiga bulan. 

Bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Fitri menjatuhkan penjara selama 10 bulan yang akan berjalan selepas hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua selesai dilaksanakan.

Dalam mahkamah sama, turut dituduh ketua geng pecah rumah tersebut, Mohamad Saifuan Mohd. Noor, 33, yang didakwa melakukan khianat merosakkan pintu gelongsor kaca hotel yang sama sehingga menyebabkan kerugian RM500 pada pukul 10.26 pagi, 21 Disember 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah masuk ke bilik hotel penghuni lain pada tarikh, waktu serta lokasi yang sama dan didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menghalang tugasan polis dengan melarikan diri daripada pemeriksaan polis pada 11.30 pagi, 22 Disember 2023 di belakang bangunan kediaman Laman Desaru, Bandar Penawar dan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum maksimum penjara selama dua tahun denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Fitri kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama setahun bermula dari tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala pertuduhan ketiga hukuman 10 bulan penjara berjalan selepas hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN