Tiga beradik dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan membunuh

Tiga beradik dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan membunuh

ANGGOTA polis mengiringi Mohd. Azam (kanan) bersama Mohd. Rizal (tiga dari kanan) dan Muhamad Zarudin (dua dari kiri) untuk mendengar keputusan pertuduhan terhadap mereka di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga beradik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu pergaduhan di sebuah stesen minyak di Machang dekat sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohd. Rizal Seman, 40, bersama dua adiknya, Muhamad Zarudin, 30, dan Mohd. Azam, 26.

Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, pihaknya mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan.

Menurutnya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan elemen penting iaitu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) untuk mengetahui perjalanan cerita kes berkenaan.

“Selain itu, tiada saksi yang dapat membuktikan ketiga-tiga tertuduh menyertai perhimpunan haram seperti yang dinyatakan pihak pendakwaan.

“Saksi utama yang juga adik ipar kepada mangsa juga membuat kenyataan bercanggah ketika pemeriksaan balas dijalankan,” ujarnya.

Mohamad Abazafree berkata, sehubungan itu, mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang yang masih bebas ketika itu dan seorang lagi yang sudah meninggal dunia didakwa membunuh Kamsani Mohamed, 39.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai dekat Machang kira-kira pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 1.30 pagi pada 27 Januari 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd. Jabar manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan dan Nik Nur Adilla Nik Sauki.

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki meninggal dunia selepas pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah stesen minyak dekat Machang pada 27 Januari 2020.

Dalam kejadian itu, kedua-dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Machang dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Wan Khairuddin Wan Idris, berkata pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan.

“Siasatan awal mendapati punca pergaduhan berlaku akibat perselisihan faham antara kedua-dua kumpulan terbabit,” katanya.

Dalam kes sama, 10 lelaki turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merusuh dan bergaduh dalam kejadian membabitkan kematian Kamsani di Mahkamah Majistret Machang pada 9 Februari 2020.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama 10 lagi yang masih bebas sebagai ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, didapati menggunakan kekerasan atau keganasan iaitu merusuh dan bergaduh di lokasi, masa dan tarikh yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya