KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melihat tiada keperluan untuk memanggil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas sebagaimana gesaan yang dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan bagi membincangkan masalah perparitan.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, hal ini kerana Kerajaan Negeri sedang membuat persediaan untuk perasmian Sidang DUN yang bakal berlangsung pada Mac ini.
Menurutnya, kerajaan negeri bagaimanapun mahu melihat cadangan sistem perparitan holistik dan penyelesaian masalah banjir jangka panjang daripada ABIM Kelantan itu.
“Kalau boleh kita mahu melihat cadangan daripada ABIM itu secara terperinci. Hal ini kerana kerajaan mahu menilai apakah bentuk cadangan yang mereka berikan.
“Sekiranya cadangan itu konkrit dan mendesak, kita akan bawa ke sidang DUN pada Mac nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Himpunan Penjawat Awam Tahun 2024 yang disempurnakan Menteri Besar (MB), Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan ABIM Kelantan menggesa kerajaan negeri memanggil sidang DUN khas untuk membincangkan isu berkait pelan perparitan holistik sebagaimana yang telah dikemukakan oleh pihaknya sebelum ini.
Naib Yang Dipertua 1 ABIM Kelantan Saifulnizam Muhamad berkata, sudah tiba masanya perkara tersebut dibahaskan secara tuntas di DUN selepas Kerajaan Negeri tidak seolah-olah tidak berminat dengan perkara tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, pada masa sama Kerajaan Negeri terbuka dan mahu mendengar cadangan konkrit daripada semua pihak demi kepentingan bersama.
“Kalau ABIM atau mana-mana pihak ada cadangan penyelesaian kepada isu berkenaan kita sangat suka untuk mendengarnya dan tengok kalau ada yang boleh kita buat segera maka kita laksanakan.
“Malah sewaktu kunjungan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini pun banyak perkara dibincangkan bersama MB. Walaupun MB minta buat kunjungan hormat ke Putrajaya tetapi apabila PM datang maka sebahagian cadangan dibincangkan segera,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, dalam usaha menyegerakan projek tebatan banjir dan pelaksanaan projek-projek babaru, Kerajaan Negeri akan mempercepatkan semua urusan di peringkat negeri termasuk pengambilan tanah dan sebagainya.
“Kita mahu semua projek berkenaan berjalan lancar dan dalam perkara ini kerajaan negeri dan pusat perlu ambil tanggungjawab bersama. Apa yang di bawah kerajaan negeri kita akan cuba dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.-UTUSAN