Tiada guna kerajaan kekal  jika negara dipimpin penjenayah - Tun M - Utusan Malaysia

Tiada guna kerajaan kekal  jika negara dipimpin penjenayah – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, tiada guna kerajaan yang ditubuh selepas pilihan raya umum (PRU) dibenar terus memerintah sehingga tamat penggalnya jika ada dalam kalangan pemimpinnya didapati mencuri wang dan menyalahguna kuasa. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kestabilan negara memang baik namun, beliau bimbang kesan terhadap negara dan rakyat jika kerajaan sendiri dipimpin individu yang mempunyai rekod buruk melibatkan kes berprofil tinggi.

“Terdapat pendapat oleh pemimpin negara apabila sebuah kerajaan ditubuh, ia sepatutnya dibenar memerintah sehingga tamat edahnya. Dengan cara itu kerajaan menjadi stabil.  

“Memanglah kestabilan baik untuk negara. Tetapi, apa akan jadi kepada negara apabila kerajaan dipimpin oleh seorang penjenayah yang secara terbuka mencuri duit kerajaan dan menyalahguna kuasa kerajaan dengan memasukkan dalam tahanan anggota parti lawan?  

“Apa akan jadi jika harta milik rakyat dirampas? Apa akan jadi apabila ekonomi rosak teruk sehingga rakyat mati kebuluran? Apa akan jadi jika polis dan tentera merompak? 

“Apa akan jadi jika rasuah menjadi jadi sehingga segala urusan dengan kerajaan mengambil masa yang panjang dan bergantung kepada sogokan yang diberi. Jika kerajaan seburuk ini berkuasa lima tahun, kerosakan yang akan berlaku tidak boleh dipulih dan negara akan hancur,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

CADANGAN

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk negara menggubal rang undang-undang (RUU) bagi penetapan penggal Parlimen. 

Mahathir tidak menyebut secara khusus nama individu dalam kenyataannya, bagaimanapun, ia dipercaya dikaitkan dengan Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Baru-baru ini, Ahmad Zahid dilaporkan mencadangkan supaya mewujudkan satu RUU penetapan penggal Parlimen supaya pembentukan kerajaan kekal hingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum. 

Beliau membuat cadangan itu bagi menjamin kestabilan negara supaya kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing. 

Katanya, pengalaman pahit lalu menyaksikan negara berdepan ketidakstabilan politik ekoran pertukaran tiga Parlimen dalam satu penggal sehingga menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara. 

Anwar hari ini dilaporkan berkata, penggubalan RUU itu bukan keutamaan kerajaan ketika ini selain tiada perbincangan dibuat mengenainya. 

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil malam tadi pula berkata, cadangan RUU itu untuk menyelamatkan ‘tengkuk’ Ahmad Zahid dan ahli-ahli politik dalam kerajaan bukannya demi kepentingan rakyat. 

Penetapan penggal Parlimen bermaksud tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan undang-undang menyaksikan Dewan Rakyat tidak boleh dibubar sebelum tarikh ditetapkan undang-undang. 

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, mungkin dalam pilihan raya kerajaan Persekutuan boleh dijatuhkan, tetapi, dengan kuasa yang dimiliki, kerajaan boleh menipu pilihan raya sekali gus mendapatkan kemenangan. 

“Maka akan berterusanlah salah guna kuasa oleh kerajaan. Sebaliknya, jika demokrasi berjalan dengan baik, parti kerajaan sendiri boleh menjatuhkan pemimpin penjenayah dan penipu. 

“Sebagai pengganti seorang pemimpin yang lurus dan berpegang kepada undang-undang akan dipilih untuk mengganti pemimpin yang bersifat perosak.

“Jika parti tidak jatuhkan pemimpinnya yang perasuah dan penyamun, wakil-wakil rakyat boleh hentikan sokongan kepadanya dan dia akan jatuh. Mungkin parti juga akan jatuh dan PRU diadakan untuk memilih kerajaan baharu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya