Tiada calon SPM 2023 tidak dapat duduki peperiksaan akibat banjir - Utusan Malaysia

Tiada calon SPM 2023 tidak dapat duduki peperiksaan akibat banjir

DR. AHMAD Rafee Che Kassim (tengah) dan Dr. Roslan (kiri) pada sidang akhbar hari pertama peperiksaan bertulis SPM Tahun 2023 di SMK Dato' Mohd Said, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan akibat terjejas banjir walaupun terdapat beberapa negeri terkesan dengan bencana itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan pelajar yang terjejas banjir dan tidak dapat menduduki SPM 2023.

“Semua teratur kerana langkah awal telah diambil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan memindahkan calon ini ke sekolah yang mempunyai asrama. 

“Mereka (calon-calon SPM 2023) sudah berada di sana awal dan tiada masalah bagi calon,” katanya pada sidang akhbar hari pertama peperiksaan bertulis SPM Tahun 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd. Said, Nilai, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Roslan Hussin. 

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 395,870 calon mula menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

“Sejumlah 129,638 petugas peperiksaan terlibat membantu mengendalikan perjalanan peperiksaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr. Roslan berkata, di Negeri Sembilan, seramai 15,977 calon menduduki peperiksaan itu di 142 buah pusat peperiksaan yang membabitkan 131 buah sekolah.

“Jumlah calon menduduki peperiksaan pada tahun ini berkurangan berbanding 16,815 calon pada 2022 iaitu pengurangan seramai 803 calon (0.5 peratus),” katanya.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan calon itu, seramai 24 orang adalah calon berkeperluan pendidikan khas dan calon berkeperluan khas membabitkan seramai 31 orang. 

“Seramai 308 orang sukarelawan yang akan bertugas sebagai pengawas peperiksaan kali ini dengan kesemua mereka adalah dalam kalangan pegawai perkhidmatan pendidikan, kakitangan sokongan serta sukarelawan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya