GOMBAK: Kira-kira dua juta penganut Hindu dan pengunjung dijangka membanjiri Batu Caves, di sini sempena perayaan Thaipusam yang bakal disambut Khamis ini.
Selain itu, sebanyak tujuh jalan akan ditutup mengikut keadaan semasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 1,600 anggota polis akan diatur gerak bagi mengawal keselamatan di sekitar Batu Caves semasa perayaan itu berlangsung.
Menurutnya, ia membabitkan pegawai dan anggota dari kontinjen Selangor, Bukit Aman dan kontinjen luar bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan kehadiran ribuan penganut agama Hindu yang membanjiri kawasan berkenaan.
“Jalan yang ditutup antaranya di simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala Batu Caves; lampu isyarat Jalan Station selain susur dari arah Bulatan Batu Caves Jalan Lingkaran Tengah (MRR) 2 menghala ke kuil.
“Kita juga akan menutup susur dari arah Gombak ke MRR2; simpang tiga Jalan SBC 8/Jalan Batu Caves lama dan susur MRR2 dari Seri Gombak menghala Jalan Perusahaan Batu Caves,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, penutupan itu dijangka dilakukan bermula tengah malam ini dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis yang akan dikemaskini melalui platform media sosial.
Katanya, Menteri Pengangkutan juga telah mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas rapid dan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada pengunjung bermula Rabu ini sehingga berlangsungnya perayaan itu.
“Oleh itu, pengunjung yang merancang untuk menghadiri ke kuil dinasihat menggunakan pengangkutan awam yang disediakan dan menggunakan jalan alternatif yang ada.
“Pengunjung dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan di parkir haram sebaliknya letak di tempat yang dibenarkan dan tidak parkir sesuka hati,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kawasan kuil juga adalah merupakan kawasan larangan bagi pengoperasian dron.
Beliau berkata, pihak yang mahu menerbangkan dron mereka perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak yang gagal mematuhi peraturan,” katanya. – UTUSAN