KOTA TINGGI: Seorang pengusaha di Taman Mawai, dekat sini terkejut apabila mendapati bengkelnya digenangi air ekoran hujan berterusan sejak malam tadi.
Paniselvam, 45, yang mengusahakan bengkel berkenaan sejak 20 tahun lalu tidak sempat menyelamatkan barangan dalam kejadian banjir kali ini.
Dia pergi ke bengkelnya pada pukul 4 pagi selepas bimbang dengan keadaan hujan berterusan.
“Bila sampai bengkel air sudah sampai lutut, tidak lama lepas itu air naik cepat ke bahagian dalam bengkel sehingga mencecah paras pinggang. Saya memang tak sempat nak selamatkan apa-apa barang.
“Baru sahaja Mac tahun lalu saya alami kerugian kira-kira RM60,000 selepas kereta turut hanyut dalam banjir itu selain barang yang turut banyak hilang. Tidak sampai setahun saya terpaksa berdepan lagi dengan kerugian. Walaupun saya menetap di Taman Kota Besar, namun bengkel ini tempat saya mencari makan untuk keluarga sejak berpuluh tahun lalu,” katanya ketika ditemu di Taman Mawai, di sini hari ini.
Bapa kepada dua orang anak itu berharap isu banjir yang melanda taman tersebut dapat diselesaikan agar para peniaga tidak terus menanggung kerugian.
Dalam pada itu, Md Azlan Mustapar, 48, yang membuka kedai makan di taman berkenaan sempat berniaga sehingga pukul 9 pagi walaupun kawasan tersebut sudah banjir.
“Kedai makan di sini biasa saya buka bermula 4 pagi hingga 3 petang. Memang kawasan ini kawasan yang rendah dan jika hujan berterusan selama dua jam pun air sudah mulai naik. Saya sempatlah berniaga sehingga pukul 9 pagi, selepas melihat keadaan agak tidak mengizinkan baru saya tutup kedai,” katanya.
Md. Azlan yang tinggal di taman tersebut sejak 20 tahun lalu sudah lali berdepan dengan masalah banjir yang terpaksa dihadap saban tahun.
“Projek tambakan di belakang taman ini telah dilakukan sejak dua bulan lalu. Kita bimbang jika taman ini terus menerus menjadi kolam takungan.
“Penduduk merayu kepada pihak berkuasa agar bantu kami atasi masalah banjir ini bukan sekadar datang menjenguk kemudian tiada apa-apa tindakan kerana kami yang terpaksa hadap setiap tahun,” katanya. – UTUSAN