DUNGUN: Seorang warga emas di Kampung Shukor, Hulu Dungun, dekat sini, terkedu apabila melihat rumah yang didiaminya sejak 42 tahun lalu, runtuh dan hanyut dalam kejadian kepala air kira-kira pukul 4 petang semalam.
Tengku Alwi Tengku Ahmad, 64, berkata, ketika kejadian, dia yang sedang berada di rumah anaknya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
“Masa kejadian, saya tengah pindahkan ayam sebab air naik begitu laju. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan tengok rumah hanyut ke sebelah rumah saudara.
“Selepas rumah beralih tapak, satu persatu dinding rumah roboh. Saya tak dapat buat apa-apa, hanya biarkan rumah runtuh sebab air terlampau laju,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Dalam kejadian kepala air itu, dua lagi rumah penduduk di kampung itu turut dihanyutkan arus deras.
Tengku Alwi yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu bersyukur kejadian itu tidak melibatkan kecederaan kepada ahli keluarganya berikutan isterinya, Robiah Seman, 65, turut berada di rumah anaknya.
“Saya memang rasa sedih bila rumah hanya tinggal tangga dan tiang batu sahaja. Rumah ini hasil titik peluh sendiri. Banyak kenangan,” katanya.
Menurutnya, kawasan itu memang kawasan banjir tetapi kejadian yang melanda petang semalam begitu dahsyat. – UTUSAN