BATU PAHAT: Seorang bekas posmen didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang ibu tunggal, Mila Sharmilah Samsusah, 32, atau lebih dikenali sebagai Bella, hujung tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang juga teman lelaki mangsa hanya mengangguk faham sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A. RahmaN, namun tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmilah antara pukul 11 malam 14 Disember hingga 5.30 pagi 15 Disember 2023.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah, dekat sini.
Mohammad Haikal didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Syahril Anuar.
Mahkamah menetapkan 19 Februari depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu selepas ahli keluarganya gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.
Bella dikatakan keluar dengan memakai baju kelawar berwarna gelap untuk ke dobi bersama-sama teman lelakinya dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.
Namun, kakaknya, Norisham, 36, memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi dan pelik apabila dompet yang mengandungi kad pengenalan diri, pakaian yang hendak dibasuh serta kunci rumah ada di kediaman Bella.
Lima suspek termasuk teman lelaki Bella ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut bermula 25 Disember sebelum dibebaskan dengan jaminan polis beberapa hari kemudian.
Selepas 38 hari misteri kehilangan Bella menjadi tanda tanya, pada pukul 2 petang, Jumaat lalu, polis menemukan rangka manusia di dalam sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini susulan panduan oleh salah seorang daripada tiga individu yang ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Semalam, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemukan itu milik Bella apabila sampel patologi rangka tersebut sepadan dengan DNA kakak serta ibunya.
Pekarangan Mahkamah Majistret hari ini turut dipenuhi dengan kehadiran kira-kira 50 saudara mara Bella yang ingin mengikuti secara dekat prosiding berkenaan. Turut kelihatan di mahkamah ibu dan bapa terrtuduh. – UTUSAN