KOTA BHARU: Kira-kira 50 penduduk yang tinggal berhampiran pinggiran Sungai Kelantan di Taman Haji Hadi, Kampung Gaung, Pendek di sini, berdepan dengan ancaman tebing runtuh.
Dakwa penduduk, hakisan sejak 2009 itu menjadi semakin parah apabila runtuhan tebing berlaku setiap kali hujan lebat atau musim tengkujuh.
Mohd. Nawi Yaacob,53, berkata, hakisan itu menyebabkan jarak tebing dengan kawasan rumahnya ketika ini hanya berbaki kurang satu meter sahaja.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia dan keluarga diselubungi kebimbangan kerana hakisan tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
“Sejak tahun 2009 lagi saya telah membuat aduan berhubung perkara ini kepada pihak berwajib, namun tiada sebarang tindakan dibuat sehingga hari ini.
“Justeru, saya dan penduduk di sini merayu agar tindakan segera dapat dilakukan memandangkan hakisan ini sudah menghampiri kediaman sekali gus melibatkan keselamatan kami ,”katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Harniza Yaacob,53, memberitahu, pihaknya berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib sebelum keadaan menjadi bertambah parah.
Katanya, setiap malam dia terdengar bunyi air sungai yang sangat kuat dan situasi itu amat amat menakutkan sekali gus membuatkan tidurnya terganggu.
“Kita ini, jarak tebing dengan rumah saya hanyalah dua meter sahaja. Jika berlaku hujan lebat, saya dapatkan bayangkan lebih banyak runtuhan akan berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan kes itu dan pihaknya akan segera turun padang bagi membuat tinjauan dan penelitian.
“Hari ini saya akan ke sana untuk melihat keadaan serta kawasan mana yang terlibat sebelum membuat apa-apa tindakan.
“Perkara ini juga akan dirujuk kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk sebarang tindakan lanjut,”katanya.-UTUSAN