PETALING JAYA: Taylor’s College memperkenalkan Bilik Terapi Indrawi Bersepadu dan Projek Snoezelen untuk murid-murid pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor di Keningau, Sabah bagi memupuk persekitaran pembelajaran yang inklusif dan transformatif.
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, walaupun wujud sistem pendidikan khas, tidak semua kanak-kanak dari golongan kelainan upaya menerima kemudahan dan kaedah pembelajaran bersesuaian disebabkan infrastruktur tidak mencukupi dan akses terhad kepada teknologi.
Menurutnya, pelaburan pihaknya dalam projek seperti ini merupakan pemangkin untuk perubahan yang bermakna bukan hanya bagi pelajar dan sekolah, tetapi juga ekosistem pendidikan negara.
“Misi institusi pengajian ini bukan sahaja untuk menjadi yang terbaik di dunia tetapi juga terbaik untuk dunia.
“Inisiatif Bilik Terapi Indrawi Bersepadu dan Projek Snoezelen mencerminkan komitmen kami untuk mentakrifkan semula pendidikan dan memupuk persekitaran pembelajaran yang inklusif dan transformatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pemenang Anugerah Pendidik RISE 2023, Velerie Wheeleveron Primus berkata, di Keningau kemudahan pembelajaran untuk pendidikan khas adalah terhad terutama dalam menampung pelajar yang menghadapi cabaran seperti autisme dan gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) dalam kelas yang sama.
“Projek ini berfungsi sebagai sistem sokongan khusus, memastikan mereka menerima panduan yang melampaui kelas tradisional, secara signifikan meningkatkan keupayaan deria mereka.
“Melalui panduan yang disesuaikan, projek ini bermatlamat untuk mencipta pengalaman pendidikan yang melampaui amalan biasa. Memberdayakan kanak-kanak ini bukan sahaja untuk berjaya tetapi untuk berkembang dalam setiap aspek perjalanan pembelajaran mereka,” katanya. – UTUSAN