SEREMBAN: Tarif baharu air bagi kategori domestik di Negeri Sembilan dinaikkan sehingga 29 peratus iaitu dengan kadar di antara 16 dan 24 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Februari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagi penggunaan kurang daripada 20 meter padu, kadar baharu yang ditetapkan adalah sebanyak 71 sen berbanding 55 sen sebelum ini yang merupakan peningkatan 29 peratus iaitu sebanyak 16 sen.
Beliau yang juga Pengerusi Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) berkata, kadar RM1.09 pula ditetapkan bagi penggunaan 20 hingga 35 meter padu berbanding 85 sen sebelum pelarasan yang merupakan peningkatan sebanyak 28 peratus.
Katanya lagi, bagi penggunaan lebih 35 meter padu, berlaku peningkatan sebanyak 17 peratus dengan kadar baharu ditetapkan pada RM1.64 iaitu peningkatan 24 sen berbanding RM1.40 bagi penggunaan yang sama sebelum ini.
Oleh itu juga, caj minimum bagi bagi kategori domestik juga ditetapkan pada kadar RM7.10 berbanding kadar bagi tarif sebelum ini.
“Untuk makluman, pelarasan tarif air domestik kali terakhir dilaksanakan di Negeri Sembilan adalah pada tahun 2002 iaitu 22 tahun yang lalu. Sebanyak 478,836 akaun terlibat yang mana sebanyak 409,219 merupakan akaun domestik.
“Bagaimanapun, Sains masih mensubsidi 93,909 akaun domestik yang menggunakan air kurang dari 20 meter padu sebulan kerana kadar baharu masih dibawah kos operasi Sains iaitu sebanyak RM1.00 per meter padu.
“Purata penggunaan air satu isi rumah di Negeri Sembilan adalah sebanyak 22 meter padu sebulan. Impak kepada kenaikan bil bulanan adalah sebanyak RM3.68 atau 12 sen sehari sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Hari ini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kenyataan memaklumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kadar baharu tarif air tersebut diharapkan dapat membantu Sains untuk memperbaiki perkhidmatan air di Negeri Sembilan.
“Kita terpaksa menaikkan memandangkan kos operasi iaitu daripada segi rawatan, agihan dan penambahbaikan telah meningkat. Kos bahan kimia, penyelenggaraan semuanya telah meningkat, Sains memang sudah tidak mampu untuk meneruskan (operasi) dengan kadar sebelum ini.
“Air tidak terhasil di negeri ini juga meningkat menjadi 35 peratus ketika ini disebabkan paip-paip lama yang kita tidak tukar lagi jadi saya berharap bahawa dengan adanya peningkatan (tarif air) dapat memberikan komitmen kepada Sains untuk menukar paip-paip lama ini khususnya di kawasan kritikal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kadar baharu tarif selain kategori domestik pula akan dikenakan caj elektrik sebanyak sembilan sen per meter padu.
Katanya, pendapatan daripada pengenaan caj elektrik kepada semua kategori akaun akan digunakan untuk menampung Imbalance Cost Past Through (ICPT) yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kepada Sains.-UTUSAN.