PETALING JAYA: Seorang gadis meluahkan kepayahan perjalanan hidupnya sejak mulai kecil hingga berusia 26 tahun kerana tidak memiliki status kewarganegaraan.
Kata Yuyu atau nama sebenarnya Nurul Arkasah, sejak mengenal dunia luar seawal usia tujuh tahun, dia mula rasa tersisih bukan sahaja daripada sanak-saudara tetapi rakan-rakan sebaya di perumahannya di Setapak.
Katanya, dia sering berasa kecil hati, sedih dan bermacam-macam perasaan negatif apabila tidak boleh bersekolah, malah pernah digelar sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI), pelarian oleh orang sekeliling.
Menurut Yuyu, semua masalah didakwa berpunca daripada perkahwinan bapanya, seorang rakyat Malaysia yang pernah bekerja sebagai polis dengan wanita Indonesia yang tidak didaftar di negara ini.
Katanya, ketika usia sembilan tahun ibunya ‘menghilangkan diri’ dan bapanya kemudian meninggal dunia.
Susulan itu, ketika berumur 17 tahun, Yuyu memberanikan diri menguruskan haknya bagi mendapatkan kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun sangat mengecewakan kerana terus-menerus diberitahu kakitangan JPN dia tidak layak.
“Walaupun seharian di JPN dan banyak cawangan JPN yang saya kunjungi namun tidak nampak masalah kewarganegaraan saya akan selesai. Saya sangat sedih kenapa masalah ibu dan bapa saya, saya jadi mangsa,” kata Yuyu.
PERKAHWINAN
Katanya, selepas pegawai JPN memberi alasan disebabkan perkahwinan bapa dan ibunya tidak didaftarkan di Malaysia mereka ‘membiarkan’ dia tanpa apa-apa cadangan.
“Lebih teruk mentaliti petugas JPN apabila ada yang melabelnya sebagai PATI dan ada kata refugee,” katanya dengan kecewa.
Ketika usia 26 tahun, Yuyu semakin risau dengan kehidupan yang tiada hala tuju selain terpaksa menanggung seorang adiknya Mohd. Abdul Razak, 23, yang lebih bermasalah daripada apabila tidak pandai membaca dan menulis.
Kata Yuyu, dia boleh membaca, menulis dan berbahasa Inggeris apabila ibunya membantunya untuk membaca, menulis serta mengira.
“Ibu saya menghantar saya ke pusat tuisyen untuk belajar seperti murid-murid lain namun saya belajar beberapa tahun di pusat tuisyen kerana tidak tahan diejek kerana tidak bersekolah,” katanya.
Katanya, demi kelangsungan hidup, Yuyu membuat beberapa kerja dengan semua bayaran dilakukan secara tunai dan menyara hidup dirinya dan adiknya.
“Saya harap kerajaan fahami masalah individu tidak diberi kewarganegaraan kerana kesalahan orang tua. Tidak wajar kami tanggung beban daripada masalah ibu bapa,” katanya.- UTUSAN