‘Tangki transit’ elak angkut air

‘Tangki transit’ elak angkut air

AHMAD Anuar Yunus memasukkan air ke dalam tangki transit untuk disalurkan terus ke tangki utama di rumahnya di Taman Koperat Putera, Bukit Keluang, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang juruteknik menggunakan kemahirannya membaiki mesin basuh dengan mencipta ‘tangki transit’ menggunakan barangan terpakai bagi meringankan beban me­ngangkut air berikutan gangguan bekalan sumber itu sejak 1 Januari lalu.

Ahmad Anuar Yunus, 41, berkata, idea untuk membina tangki tersebut tercetus selepas dia terpaksa mengangkut air dari luar rumah untuk kegunaan harian.

“Kawasan Bukit Keluang ini antara lokasi paling teruk terjejas bekalan air selepas insiden kebocoran paip di dasar Sungai Besut awal bulan ini.

“Jadi, kami sekeluarga terpaksa mengangkut air setiap kali mahu masak dan mandi.

“Dengan tangki transit ini, air dari tangki statik Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat disalurkan terus ke tangki utama rumah,” katanya ketika ditemui di Taman Koperat Putera, Bukit Keluang di sini, semalam.

Pada 1 Januari lalu, SATU memaklumkan gangguan bekalan air berlaku berpunca daripada kebocoran paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu dekat sini melibatkan 11 kampung di daerah ini.

Kebocoran melibatkan paip bersaiz 600 milimeter (mm) itu mengakibatkan 2,670 akaun pengguna menghadapi gangguan bekalan air sehingga 21 Januari ini.

Ahmad Anuar memberitahu, dia mengeluarkan belanja kira-kira RM400 untuk membeli paip dan mesin pam air di samping barangan terpakai lain.

Tambahnya, meskipun perlu berbelanja lebih, namun ia dapat membantu melancarkan dan memudahkan kerja-kerja rumah.

Jelas Ahmad Anuar, kemudahan tangki berkenaan dapat digunakan seperti biasa sekali gus menjimatkan ruang pe­nyimpanan air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN