Taksub kegemilangan lampu punca kemajuan Malaysia terburuk di ASEAN - Utusan Malaysia

Taksub kegemilangan lampu punca kemajuan Malaysia terburuk di ASEAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Wacana Pemikir Global 2024 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketaksuban kepada kegemilangan lampau antara punca kegagalan Malaysia untuk maju dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan sehinggakan negara ketinggalan berbanding negara serantau lain.

Menjadikan prestasi Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 sebagai contoh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan untuk mengakui kekurangan dalam sistem terdahulu memberi impak negatif kepada kedudukan negara dalam penarafan antarabangsa.

Justeru, menurut beliau, semua pihak perlu  menerima perubahan seiring dengan peredaran zaman serta mengelak daripada terjerumus dalam sindrom penafian bagi membolehkan negara terus bergerak maju ke hadapan.

“Kita berada di sini ketika ini, bukan untuk menafikan pencapaian terdahulu seperti pertumbuhan ekonomi, perpaduan dan peningkatan pada tahap tertentu dalam sistem pendidikan, namun, jika dilihat fakta asas, beberapa daripadanya (kini di tahap) membimbangkan. 

“Justeru, kita perlu rujuk laporan PISA terkini yang akan memberi gambaran (sebenar) kepada tahap kejayaan negara. Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN,” katanya.

WACANA

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia’ di Universiti Malaya (UM), hari ini.

  Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut terkesan dengan prestasi Malaysia dalam penarafan PISA 2022.

Bagaimanapun, beliau berkata, alasan standard yang diberikan berhubung pencapaian tersebut adalah ia berpunca akibat  penularan wabak Covid-19 sehingga menjejaskan sektor pendidikan negara.

“Wabak Covid-19 memberi kesan kepada semua negara termasuk Laos, Kemboja, Indonesia (dan) Singapura tetapi kenapa kita gagal untuk skor. Ini soalan yang perlu kita tanya sebelum membincangkan soal masa depan,” katanya.

MENGGESA

Justeru, Ahli Parlimen Tambun itu menggesa semua pihak menilai semula punca kegagalan Malaysia bergerak ke hadapan supaya permasalahan berkenaan dapat diatasi secara menyeluruh dan segera.

“Kita perlu tanya diri sendiri bagaimana kita boleh gagal. Ini adalah soalan yang perlu kita tanya sebelum mahu membincangkan mengenai visi negara bagi 100 tahun akan datang. Kita perlu cakna mengenai keadaan negara dan tidak boleh kekal dalam sindrom penafian,” katanya.

Baru-baru ini, Malaysia dilapor mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam PISA 2022, dengan kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilihat sebagai antara faktor penyumbang utama.

Hasil kajian PISA yang dilaksanakan setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan pandemik Covid-19, skor direkodkan purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik menurun sebanyak 31 mata pada kali ini, manakala Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018.

Keputusan pentaksiran kali ini turut menyaksikan Malaysia mencatat 52.1 peratus dalam penguasaan minimum Aras 2 hingga tertinggi Aras 6 bagi Literasi Saintifik, manakala Literasi Matematik pula 41.0 peratus dan Literasi Bacaan (41.9).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya