Tahniah Anwar berjaya kurangkan rasuah, sindir Tun M - Utusan Malaysia

Tahniah Anwar berjaya kurangkan rasuah, sindir Tun M

Tun Dr. Mahathir Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudah berjaya mengurangkan rasuah di Malaysia.

Pertama, Mahathir mendakwa, rasuah dikurangkan dengan menghenti dakwaan terhadap semua 47 kes dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  maka 47 kes rasuah dikurangkan.

Selain itu, dakwa bekas Perdana Menteri itu, rasuah dikurangkan lagi apabila akuan bersumpah (SD) Datuk Abdul Murad Khalid bahawa Anwar terlibat dengan rasuah sebanyak RM3 bilion tidak diteruskan tindakan dan dengan itu RM3 bilion diselamatkan.

Malah, kata Dr. Mahathir lagi, beberapa wakil rakyat parti pembangkang mengisytihar sokongan mereka kepada Anwar kerana dakwaan sokongan dibuat untuk dapat peruntukan wang daripada kerajaan dan itu tidak dianggap sebagai rasuah, maka sekali lagi rasuah dikurangkan.

“Demikian juga rasuah dikurangkan apabila tindakan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki bermilion saham tidak dianggap sebagai rasuah kerana adik ketua guna akaun ketua.

“Ramai nama orang tertentu terdapat dalam Kertas Pandora tidak diselidik sama ada terlibat dengan rasuah atau tidak juga mengurang rasuah di Malaysia.

DIKURANGKAN

“Sesungguhnya rasuah di Malaysia sudah dikurangkan. Ini adalah kejayaan Kerajaan PMX (Anwar),” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebaliknya, Mahathir mendakwa, kerajaan sedang menyiasat individu bergelar ‘Tun’ yang memiliki kekayaan atau dituduh tanpa bukti memiliki kekayaan.

Dakwanya, bukti tidak penting untuk tentukan kesalahan, tetapi cukup tuduhan oleh Perdana Menteri.

“Mereka, anak mereka, isteri mereka akan didapati bersalah kerana gagal mengisytihar semua harta mereka sejak 42 tahun dahulu dalam jangka masa 30 hari.

“Mereka gagal kerana tidak dapat resit-resit pembelian nasi lemak dan kopi selama 42 tahun. Semua rakyat Malaysia mempunyai bukti sah apabila mereka makan nasi lemak. Kenapa Tun Tun tidak simpan semua resit segala perbelanjaan mereka selama hanya 42 tahun. Kenapa setelah diberi masa 30 hari mereka tidak patuh kepada notis dari SPRM.

“Demikianlah bertanggungjawabnya SPRM. Apabila Tun Tun masuk penjara maka berjayalah Kerajaan PMX (Anwar) melawan rasuah,” dakwanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya