BATU PAHAT – Pengesahan bahawa mayat wanita yang ditemukab bogel tanpa kepala, tangan dan kaki di Kampung Rimau, Pulau Sebang, Melaka pada 31 Disember lalu bukan Mira Sharmila Samsusah amat melegakan keluarganya.
Kakaknya, Norisham Samsusah, 36, mengakui pada awalnya mereka cemas apabila pelbagai spekulasi mengatakan mayat itu adalah Mira Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.
Namun, dia yakin adiknya yang berusia 34 tahun itu masih hidup, namun bersembunyi atau disembunyikan masih menjadi tanda tanya kerana sehingga kini belum ada petunjuk baharu ditemukan.
“Sebaik penemuan mayat itu, saya dihujani panggilan dan mesej kerana ingin mendapatkan cerita sebenar, namun berasa lega bahawa itu bukan Bella.
“Malah, setiap kali berita penemuan mayat tersiar, seluruh ahli keluarga berasa gelisah kerana bimbang ia ada kaitan dengan Bella,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, usaha pencarian tidak hanya berharap kepada pihak polis sahaja, malah beberapa ustaz turut membantu namun setakat ini belum berhasil menemukan Bella.
Norisham turut berharap, adiknya itu dalam keadaan baik serta masih hidup walaupun masih belum tahu kesudahannya.
“Tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi kerana pelbagai usaha sudah dilakukan, namun hingga kini Bella masih belum ditemukan,” katanya. – UTUSAN