SEREMBAN: Kursus Pendidikan Keamanan disyor untuk diperkenalkan kepada golongan mahasiswa di universiti-universiti di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, di universiti-universiti Eropah, kursus pendidikan keamanan didapati mula popular dikembangkan kepada para pelajar.
“Teori dan amalan pelaksanaan keamanan daripada pelbagai perspektif tamadun ditelusuri secara perbandingan dan menyeluruh.
“Saya meyakini bahawa pengenalan kursus sebegini dapat membangunkan penghayatan kepentingan keamanan dalam kalangan generasi muda dan masyarakat sekali gus mampu menampakkan keberkesanan yang lebih bermakna,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Syarahan Malaysia Harmoni Siri 1 2024 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini.
Mohd, Na’im dalam pada itu berharap agar USIM dapat memainkan peranan substantif dalam menyumbang terhadap keamanan dan keharmonian negara dan tamadun dunia.
“Dalam konteks ini juga, keamanan dan keharmonian adalah asas pada segala-galanya. Sekiranya kita menelusuri wacana Maqasid al- Syariah yang meletakkan lima teras utama bagi pencapaian risalah Islam di muka bumi ini iaitu, pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta hakikatnya ia tidak mungkin dapat dicapai dan direalisasikan tanpa wujudnya persekitaran hidup masyarakat yang aman, tenteram dan sejahtera.
“Dalam erti kata lain, keamanan dan keharmonian adalah pra-syarat terhadap pencapaian maqasid al-syariah itu sendiri. Oleh yang demikian, membina keamanan dan keharmonian masyarakat dan negara telah menjadi aspek perjuangan luhur dan mulia semua pihak.
“Kita berasa bersyukur kerana para alim ulamak juga sarjana Muslim klasik dan semasa, sentiasa terlibat dalam membangunkan kefahaman umat terkait kepentingan penglibatan mereka dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya lagi.-UTUSAN.