Syarikat tipu pakej umrah didakwa di mahkamah esok

Syarikat tipu pakej umrah didakwa di mahkamah esok

ARMIZAN Mohd. Ali (dua kiri) melawat pusat penjualan barang perlu dan kawalan di Tenom, Sabah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Syarikat yang didakwa melakukan penipuan pakej umrah terhadap 47 mangsa akan didakwa di mahkamah pada 9 Januari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sebahagian siasatan telah pun lengkap dan setakat ini sebuah syarikat berpangkalan di Putrajaya menerima notis untuk pendakwaan.

Pendakwaan akan dilakukan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan daripada mangsa pada 22 Disember lalu mengenai kesalahan syarikat umrah tidak mematuhi keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang menetapkan award perlu dibayar oleh syarikat berkenaan kepada mangsa terlibat.

“Setakat ini bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 88 kertas siasatan mengenai kes penipuan umrah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Jelasnya, mengambil kira isu dan kes melibatkan penipuan umrah semakin meningkat, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPDN untuk mengadakan perbincangan segera melalui sebuah jawatankuasa melibatkan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (berkaitan pelesenan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wakaf Zakat dan Haji Jabatan Perdana Menteri serta Pejabat Peguam Negara.

Pada 24 November lalu, media melaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa PDRM melakukan siasatan atas kesalahan jenayah terhadap sebuah syarikat yang disyaki memperdayakan 123 mangsa penipuan pakej umrah membabitkan jumlah kerugian RM1.3 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN