Syarikat kontraktor didakwa ingkar arahan award TTPM - Utusan Malaysia

Syarikat kontraktor didakwa ingkar arahan award TTPM

SITI Norainah Baharin hadir ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan tidak mematuhi perintah award TTPM.UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah syarikat pembinaan dan pemiliknya didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini kerana tidak mematuhi award diputuskan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada seorang lelaki pada tahun lalu.

Syarikat Ena Ezam Enterprise yang diwakili pemiliknya, Siti Norainah Baharin selaku orang kena saman (OKS), 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nor Hafiza Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu dan pemiliknya didakwa gagal mematuhi perintah award TTPM yang dibuat di pejabat tribunal itu yang memerintahkan syarikat berkenaan membayar RM25,000 kepada seorang lelaki berusia 34 tahun yang menuntut wang itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan pada 17 April 2023.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat TTPM di sini pada 7 Jun 2023.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan manakala Siti Norainah tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Februari ini sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya