PETALING JAYA: Stesen radio swasta, Suria FM mengambil langkah tidak populis apabila menamatkan kontrak penyampai radio, Tyzo yang berakhir semalam.
Kekecewaan itu dapat dilihat apabila rata-rata pendengar setia memberikan komen tidak berpuas hati terhadap Tyzo yang berkhidmat di stesen berkenaan sejak 2007.
“Ini bukan strategi yang bijak untuk tahun 2024, Suria FM. Percayalah, rating Suria FM petang akan turun mendadak,” tulis pengguna media sosial menerusi ruangan komen sebuah portal hiburan.
“Antara sebab utama buka radio Suria kerana Tyzo dan Kak Rara. Kalau salah seorang sudah tiada memang tak meriah jadinya,” luah pendengar setia radio berkenaan.
“Tyzo tiada memang tak dengar Suria Petang. Tyzo adalah penghibur sebenarnya,” kata netizen.
Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain menyertai Suria FM sejak 2007. Beliau pernah mengundurkan diri daripada stesen berkenaan selepas enam tahun berkhidmat dan menyertai semula.
Pemegang trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Ke-35 menyertai industri penyiaran bersama stesen radio, Muzik FM pada 16 Julai 2004.
Selain Suria FM dan Muzik FM, juruhebah berasal dari Ipoh, Perak ini pernah bersama Ultra FM, Pi Mai FM dan Selangor FM.
Usaha menghubungi Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin gagal apabila kiriman mesej dan panggilan yang dibuat tidak berjawab.
Terdahulu, menerusi kenyataan akhbar, DJ Lin hanya memaklumkan keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu untuk menghasilkan produk lebih menarik dan segara tahun ini hingga seterusnya.