Sukarelawan Nature Lifeguard APM redah arus Sungai Tembeling hantar makanan ke kampung Orang Asli - Utusan Malaysia

Sukarelawan Nature Lifeguard APM redah arus Sungai Tembeling hantar makanan ke kampung Orang Asli

ROSLAN Abu Kassim (tiga dari kiri) bersama anggota Nature Lifeguard Orange Asli etnik Bateq menurunkan barang makanan dari bot penambang untuk dihantar ke Kampung Tabung, berdekatan Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - FOTO/IHSAN APM JERANTUT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 11 orang Orang Asli etnik Bateq yang menganggotai pasukan Nature Lifeguard, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan tidak gentar mengharungi arus deras Sungai Tembeling bagi menghantar bantuan makanan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kepada penduduk masyarakat itu yang terjejas banjir di Ulu Tembeling di sini.

Antara perkampungan Orang Asli yang menerima perkhidmatan penghantaran itu adalah Kampung Teresek, Kampung Tabung, Kampung Dedari dan Kampung Yong berdekatan Taman Negara yang terjejas hampir seminggu berikutan banjir Sungai Tembeling.

Anggota tersebut juga turut melakukan penghantaran bantuan yang sama kepada seramai 60 orang penduduk Kampung Aur dan 100 penduduk Kampung Cangkung, Kampung Kuala Luas dan Kampung Aur yang terdiri daripada 42 buah keluarga yang tinggal agak jauh di pedalaman Taman Negara.

Penyelaras Nature Lifeguard APM Kuala Tahan, Sarjan (PA) Roslan Abu Kassim berkata, sukarelawan terbabit cukup terlatih tentang selok belok hutan tropika, Sungai Tembeling dan aspek menyelamat ketika musim tengkujuh bagi menghantar barangan makanan perkampungan Orang Asli di kawasan Ulu Tembeling.

“Lumrahnya ketika air Sungai Tembeling naik akibat hujan lebat serta kawasan pesisir sungai dilanda banjir menyebabkan Orang Asli yang tinggal di beberapa tempat Taman Negara terputus bekalan makanan akibat tidak dapat keluar bekerja. Jadi, saya bersama anggota sukarelawan APM perlu menghantar makanan ke kampung tersebut.

“Kebiasaannya untuk sampai di beberapa kawasan penempatan Orang Asli perlu menempuh laluan Sungai Tembeling dengan arus kuat termasuk merentas Jeram Panjang, Jeram Nusa, Jeram Dedari dan beberapa jeram lain yang berbahaya perlu berhati-hati dikhuatiri boleh karam bagi bot penambang selain menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi jarak dekat,” katanya di Kuala Tahan di sini.

Menurut Roslan, sukarelawan Nature Lifeguard Orang Asli itu sudah menjalani latihan mengendalikan bot penambang atau dikenali ‘bot panjang’, menyelamat di arus yang laju, berenang, menyelamat tempat tinggi, aspek teknikal seperti pertolongan cemas dan pengurusan sebelum, semasa dan selepas bencana banjir.

Katanya, selain penghantaran barang makanan pihak Jakoa, mereka juga terbabit membantu pemimpin setempat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan misi bantuan termasuk program kebajikan dan kemanusiaan kepada penduduk Orang Asli di Taman Negara dan Ulu Tembeling.

Anggota Nature Lifeguard APM Kuala Tahan, Belandak Bajak, 29, berkata, dia seronok dan teruja terbabit dengan misi penghantaran makanan ke kampung Orang Asli dengan bot penambang ketika musim banjir dan menyifatkan tugas itu mulia kerana dapat membantu masyarakat tersebut di pedalaman daerah ini.

“Walaupun kehidupan kami di hutan tropika dan Sungai Tembeling untuk mencari rezeki bagi keperluan hidup diibaratkan ‘alah bisa tegar biasa’, tetapi saya dan rakan perlu berwaspada dengan mengutamakan keselamatan diri ketika memunggah barang makanan menggunakan bot penambang dalam misi tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Roslan dan APM Pahang kerana memilih belia Orang Asli sebagai anggota Nature Lifeguard dengan dibekalkan latihan pelbagai kemahiran menyelamat di air dan darat, pengendalian bot serta aspek pertolongan cemas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya