Suami isteri terlepas hukuman gantung

Suami isteri terlepas hukuman gantung

PASANGAN suami isteri, Yong Shin Haw (dua dari kiri) dan isteri, Felicia Diong Chew Li dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam. – UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepasang suami isteri terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah seberat 1,510.69 gram, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian terhadap Yong Shin Haw, 48, dan isteri, Felicia Diong Chew Li, 38, selepas mendapati mereka berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, pasangan suami isteri yang mempunyai tiga anak perempuan itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,458.3 gram di sebuah rumah di Kampung Selamat, Sitiawan pada pukul 3.40 petang, 24 Februari 2020.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara se­umur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pasangan suami isteri itu juga didakwa bagi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu memiliki dadah berbahaya jenis heroin seberat 8.41 gram, monoacetyimorphines (1.48 gram) dan 3,4- methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 42.5 gram pada pukul 3.30 dan 3.40 petang di lokasi dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam penghakiman di akhir kes pembelaan, Abdul Wahab berkata, terdapat sekurang-kurangnya satu individu lain yang turut mempunyai akses ke atas bilik di tingkat dua rumah tertuduh di mana dadah tersebut dijumpai.

Bagaimanapun katanya, ti­dak dapat dibuktikan bahawa individu itu adalah Keong seperti mana dinyatakan dalam pem­belaan kedua-dua tertuduh.

“Dalam keadaan ini, saya berpendapat individu yang tidak dikenali ini atau juga Keong, tidak boleh ditolak kemungkinan yang dia adalah pemilik sebenar dadah yang dijumpai di dalam bilik tersebut,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN