PETALING JAYA: Dua bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM18,000 sebagai balasan kononnya bagi menutup satu siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan mangsa.
Kedua-dua individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi sebelum dibenarkan reman bermula hari ini sehingga 22 Januari oleh Majistret, M. Arunjothy.
Satu sumber berkata, kedua-dua individu itu dipercayai menyamar sebagai pegawai Unit Risikan Bukit Aman dan pergi ke pejabat mangsa di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis minggu lalu.
“Suspek telah memberitahu kononnya terdapat satu kes SPRM yang dibuka terhadap mangsa membabitkan kesalahan di bawah akta pengubahan wang haram.
“Sehari selepas itu, suspek datang semula ke pejabat mangsa dan telah meminta wang rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan untuk menutup siasatan berkenaan,” kata sumber itu.
Kata sumber lagi, mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada suspek dan memaklumkan akan menyerahkan baki RM8,000 semalam sebelum membuat laporan kepada SPRM pada Ahad lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kedua-dua individu itu direman seminggu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.- UTUSAN