PETALING JAYA : Keterangan isteri dan anak kepada tokoh konglomerat terkenal, Tun Daim Zainuddin dijangka diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.
Keterangan ahli keluarga bekas pemimpin kanan itu akan diambil selepas SPRM memulakan siasatan terhadap beliau.
Proses berkenaan dilakukan selepas SPRM mendapati pemilik kepada bangunan Menara Ilham yang disita baru-baru ini adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh isteri dan anak kepada Daim.
Pada 22 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada muslihat, niat jahat, pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak dalam tindakan SPRM menyita bangunan Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Tindakan SPRM menyiasat dan menyita Menara Ilham di ibu negara membuktikan sistem penguatkuasaan negara ini tidak melindungi sesiapa yang terlibat dalam rasuah.
Beliau berkata, semua pihak hendaklah memahami dan memberi ruang kepada badan penyiasatan itu melaksanakan tugas termasuk jika siasatan melibatkan individu berpengaruh, berpangkat atau mempunyai kuasa besar.
Laporan Utusan Malaysia pada 25 Disember lalu mendedahkan SPRM akan memanggil Daim pada masa yang sesuai bagi merungkai pembelian aset dan pemilikan perniagaan di dalam dan luar negara.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu lain yang dikaitkan dengan bekas menteri kewangan itu juga akan dipanggil.
Utusan Malaysia pada laporan 24 Disember tahun lalu mendedahkan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap tokoh konglomerat terkenal itu menjurus kepada bagaimana pembelian-pembelian aset dan perniagaan miliknya diperoleh.
Sebelum ini, Utusan Malaysia juga mendedahkan sitaan bangunan Menara Ilham oleh SPRM adalah untuk menyekat apa-apa tindakan menjual, memindah hak milik atau melupuskan bangunan tersebut secara keseluruhan atau mana-mana bahagian bangunan tersebut.
Sitaan dilakukan selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.
Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6% ekuiti oleh UEM Group.
Dedah Utusan Malaysia, SPRM telah pun dijalankan bermula pada awal tahun sehingga kini.
Sitaan dilakukan selepas siasatan SPRM mendapati pemilik kepada Menara Ilham adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh isteri dan anak kepada seorang bekas menteri kewangan.
Projek pembinaan Menara Ilham itu adalah lebih kurang RM580 juta.
- Apa-apa aktiviti operasi harian dalam bangunan tersebut berjalan seperti biasa dan tidak dihalang oleh SPRM. – UTUSAN