PETALING JAYA: Tiga penjawat awam direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM12,000 daripada sebuah syarikat berhubung kerja-kerja penurapan jalan yang tidak mengikut spesifikasi.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an dikeluarkan oleh Majistret Atiqah Mohamed selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang bekerja di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) telah ditahan sekitar pukul 7.45 malam semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
“Ketiga-tiga suspek ini telah meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat berkenaan selepas mendapati kerja-kerja penurapan jalan yang dilaksanakan sekitar April hingga Jun 2023, tidak mengikut spesifikasi sebagaimana ditetapkan.
“Wang rasuah keseluruhannya sekitar RM12,000 kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadi ketiga-tiga suspek sebagai balasan agar kompaun tidak dikeluarkan kepada syarikat berkenaan,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap ketiga-tiga suspek.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
MEMINTA
Sementara itu di Selangor, seorang Penolong Pegawai Tadbir ditahan SPRM kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM6,000.
Penahanan suspek lelaki yang berusia sekitar 40-an dibuat kira-kira pukul 2 petang tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Selangor bagi dirakamkan keterangan.
Satu sumber mendedahkan, siasatan awal mendapati bahawa suspek telah meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM6,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya daripada sebuah syarikat pada 2021.
“Wang rasuah ini sebagai balasan kerana suspek telah membocorkan maklumat sebut harga bagi kerja-kerja perkhidmatan pembersihan serta penyelenggaraan landskap Mahkamah Syariah di Selangor yang bernilai lebIh RM130,000,” kata sumber.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Kata beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada esok pagi bagi proses permohonan reman.– UTUSAN