SEBERANG PERAI – Sebanyak 265 aduan mengenai isu penganiayaan dan kebajikan haiwan diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sepanjang tahun lalu dengan lima kertas siasatan dibuka.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) iaitu menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap mana-mana haiwan.
Menurutnya, sabit kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, mereka yang bersalah boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara selama tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Untuk pengetahuan, daripada keseluruhan aduan yang kita terima, spesies anjing dan kucing adalah haiwan yang paling banyak dianiaya dan antara bentuk penganiayaan yang kita terima berdasarkan laporan adalah dikurung atau dipelihara dalam kandang atau sangkar yang sangat kecil.
“Ada juga haiwan yang diikat di tengah panas iaitu bukan di tempat yang ada perlindungan. Selain itu, ada haiwan yang tidak diberi makanan yang secukupnya serta kes-kes seperti mencederakan haiwan.
“Terdapat juga kes haiwan-haiwan ini diracun terutamanya melibatkan anjing-anjing atau kucing-kucing yang terbiar,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Pembentangan Laporan Penguatkuasaan di Bawah Perundangan JPV Pulau Pinang bagi 2023 di Ibu Pejabat JPV negeri di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini, petang tadi. – UTUSAN