KOTA BHARU: Tindakan seorang wanita menyorok 2.35 tan minyak peket bersubsidi dan gula pasir terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan semalam.
Rampasan itu pukul 1.25 petang di Taman Harian, Guchil Bayam dilakukan hasil maklumat risikan yang diperoleh oleh KPDN Kelantan.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan ruang tamu rumah itu membawa kepada penemuan 1.326 tan minyak masak peket bersubsidi.
Menurutnya, susulan itu anggota penguat kuasa telah menemui 1.032 tan gula pasir di bawah digaraj di pekarangan rumah tersebut.
“Semasa serbuan kita telah menahan seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang merupakan pemilik rumah untuk membantu siasatan.
“Pada masa sama, suspek turut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azman memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, jika sabit kesalahan wanita berkenaan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM 2 juta.
“KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” ujarnya.-UTUSAN