PETALING JAYA: Lima lagi syarikat dikenalpasti menerima dana daripada pentadbiran kerajaan sebelum ini menjadi jumlah keseluruhan syarikat terlibat 14 syarikat dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikesan menerima dana antara RM5 juta sehingga RM50 juta.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, susulan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang mengesan dokumen-dokumen berkaitan yang mungkin membabitkan syarikat lain.
Kesemua syarikat dan NGO tersebut dipercayai antara penerima peruntukan RM700 juta yang dibelanjakan dua pentadbiran kerajaan dalam tempoh itu.
Kata sumber itu, kelmarin sembilan syarikat serta sebuah NGO dikenal pasti SPRM selepas agensi itu pergi ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri kelmarin yang mana mereka dikesan menerima peruntukkan RM200 juta.
“Semalam SPRM sekali lagi pergi ke MOF dan JPM dan mengesan lebih kurang lima syarikat lagi yang menerima peruntukan RM500 juta menjadikan jumlah keseluruhan dana dibelanjakan adalah RM700 juta.
“Setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan 10 saksi terdiri daripada pegawai kerajaan jabatan terlibat dan agensi yang menguruskan dana tersebut,” kata sumber itu.
Individu
Mengulas lanjut, kata sumber, antara dokumen yang diperoleh SPRM seperti baucar, laporan kewangan berkaitan peruntukan dana dan program yang dilaksanakan.
“Setakat ini, SPRM masih dalam penelitian dokumen-dokumen berkenaan untuk melihat profil syarikat tersebut sama ada mempunyai kaitan dengan mana-mana individu,” jelas sumber.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Siasatan awal SPRM mendapati dana RM200 juta telah diperuntukkan kepada sembilan syarikat dan sebuah NGO bagi tujuan promosi dan publisiti dua program di bawah pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.
Sembilan syarikat dan NGO berkonsepkan Islam itu dipercayai telah dilantik oleh sebuah agensi di bawah JPM bagi melaksanakan dua program di bawah dua pentadbiran sebelum ini.
Lapor akhbar ini, beberapa dokumen sedang diperoleh SPRM daripada syarikat dan NGO terlibat bagi mengesan sama ada berlaku ketirisan, rasuah dan penyelewengan terhadap dana diberikan.
Dokumen
SPRM juga dikatakan belum lagi memanggil mana-mana individu termasuk pemimpin tertinggi bagi siasatan lanjut kerana perkara itu perlu meneliti semua dokumen yang diambil dari syarikat-syarikat dan NGO terlibat
Pada 2 Januari lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan ketika itu.
Siasatan dibuat SPRM berdasarkan maklumat awal seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran pada November lalu.
Prabakaran meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini. – UTUSAN