PEKAN : Seramai 128 pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini, yang terjejas banjir dijangka memulakan sesi persekolahan mereka secara bersemuka Isnin depan.
Pelajar sekolah terbabit menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) sejak Selasa lalu berikutan sekolah terbabit ditutup kerana masih ditenggelami air banjir pada paras 0.48 meter.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Pembangunan Profesionalisme (SPP), Shafruddin Ali Hussin berkata, SK Temai merupakan sekolah terakhir yang masih belum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka setakat ini.
Katanya, sekiranya air banjir masih belum surut, kesemua pelajar akan memulakan sesi persekolahan mereka secara bersemuka pada Isnin depan bertempat di pusat pemindahan sementara (PPS) Temai Hulu.
“Kesemua akan menjalani pembelajaran secara bersemuka di PPS Temai Hulu bagi menjalani peperiksaan Ujian Akhir Semester Akademik (UASA).
“Bagaimanapun kita difahamkan oleh pihak Pejabat Pendidikn Daerah (PPD) bahawa pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membantu untuk mengepam air banjir ini dan seterusnya melakukan operasi pembersihan pada Ahad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika membuat tinjauan di SK Temai hari ini. Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar.
Tambahnya, setakat ini tidak ada pelajar keciciran berikutan sesi PdPR yang masih berjalan berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini yang membolehkan pihak sekolah bersedia lebih awal.
Shafruddin sebelum itu turut berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai bersama 46 Sukarelawan Biro Sosial dan Kebajikan Persatuan Sukan dan Kebudayaan (MESCA) bagi membantu kerja-kerja pembersihan sekolah terbabit.
“Kita telah melakukan pembersihan di SMK Paloh Hinai dan InsyaAllah… sekolah itu akan kembali beroperasi esok (Jumaat),” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Temai, Rasulahmanis Hussin berkata, sekolah terbabit mula ditenggelami air sejak 27 Disember lalu pada paras 0.9 meter.
Katanya, sekolah yang turut menempatkan seramai 15 orang guru itu telah dibina sejak 113 tahun lalu dan boleh dikatakan setiap tahun akan dilanda banjir.