GUA MUSANG: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di Pos Pasik di sini diselubungi ketakutan selepas seekor gajah liar didakwa telah ‘melawat’ sekolah berkenaan semalam.
Seorang guru Ahmad Najmuddin Ja’afar, 33, berkata, ini merupakan kali keempat haiwan liar itu masuk ke kawasan pekarangan sekolah dan situasi itu telah mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan pelajar dan pendidik.
“Kejadian pertama berlaku pada hari Rabu minggu lalu, kira-kira pukul 11.30 malam apabila seorang guru sempat melihat kelibat haiwan liar yang dikesan muncul di kawasan belakang sekolah dan berhampiran rumah guru.
“Hari keesokannya (Khamis) gajah itu datang lagi pada pukul 2 pagi berdekatan pagar sekolah. Semalam, kira-kira pukul 10 malam adalah kali ketiga gajah liar yang dipercayai haiwan yang sama datang merosakkan tanaman pisang di sekitar sekolah,” ketika ditemui di sini.
Ahmad Najmuddin memberitahu, setakat ini guru bersama penduduk Orang Asli hanya mampu bertindak menghalau gajah terbabit dan gajah itu telah melarikan diri ke kawasan seberang sungai.
Katanya, serangan dan kemunculan gajah liar itu semakin kerap berlaku di kawasan sekolah telah menimbulkan rasa tidak tenteram termasuklah Orang Asli.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd. Sani Nahtiman berharap, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat membantu memindahkan gajah berkenaan kerana ibu bapa Orang Asli sangat bimbang dengan keselamatan nyawa terutamanya anak yang masih kecil.
Katanya, penduduk Orang Asli juga sudah hilang punca pendapatan dan sumber makanan apabila gajah sering merosakkan tanaman di kebun pisang dan ubi kayu yang diusahakan mereka. – UTUSAN