Siti Aisah minta bantuan kesan ibu, bapa kandung anak angkat - Utusan Malaysia

Siti Aisah minta bantuan kesan ibu, bapa kandung anak angkat

SITI AISAH Salim bersama anak angkatnya, Muhammad Izrofil Buyamin ketika ditemui di sebuah restoran di Taman Sri Aman, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang wanita memohon bantuan orang ramai mengesan ibu dan bapa kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki yang dijaganya sejak 2019.

Siti Aisah Salim, 31, berkata,  ketika diserahkan kepadanya, kanak-kanak tersebut, Muhammad Izrofil Buyamin berusia dua tahun.

Menurutnya, ibu Muhammad Izrofil yang dikenali sebagai Sarina Haya, 41, warganegara Thailand pulang sementara untuk urusan memperbaharui pasport dan ayahnya yang dikenali sebagai Buyamin, 51, warga Indonesia juga balik ke negaranya bagi urusan yang sama.

Siti Aisah mengakui Sarina Haya merupakan kawannya dan selalu datang ke Pekan Layang-Layang kerana mereka menjalankan perniagaan kedai makan di pekan tersebut.

“Pasangan suami isteri itu yang menghantar anaknya, Muhammad Izrofil pada 25 September 2019 ke rumah saya di Kampung Api-Api dan meminta menjaganya  sehingga selesai urusan pasport. Setelah lima tahun berlalu, mereka berdua tidak muncul-muncul dan pernah sekali cuba berhubung pada tahun 2020, namun nombor telefon yang diberikan telah digunakan oleh orang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Siti Aisah yang juga seorang peniaga burger telah menganggap Muhammad Izrofil sebagai anak walaupun belum berumah tangga dan berharap dapat mendaftarkan mengikuti tahun satu pada sesi persekolahan 2024/2025 pada Mac depan.

“Namun saya memerlukan dokumen pengesahan anak angkat daripada pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkannya diterima oleh pihak sekolah,” katanya.

Muhammad Izrofil yang lahir pada 20 Ogos 2017 di Hospital Sultanah Aminah ( HSA) Johor Bahru mempunyai MyKid.

“Saya tiada mempunyai maklumat lanjut tentang kedua-dua ibu bapa Muhammad Izrofil. Saya sudah berusaha mencari mereka, namun setakat ini gagal dan orang ramai yang mengetahui di mana Sarina Haya dan Buyamin berada boleh menghubungi saya menerusi talian 010-7004967/013-7105644. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN