PUTRAJAYA: Keuntungan diperolehi bukan biasa-biasa malah, mampu mencecah RM100,000 sehari atau sehingga RM3 juta sebulan.
Itu keuntungan diraih sindiket judi atas talian didalangi sekumpulan warganegara China sejak enam bulan lalu.
Bagaimanapun, sindiket bertapak di unit kondominium mewah di Kuala Lumpur itu akhirnya tumpas selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) petang semalam.
Dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Bangsar, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor itu, JIM berjaya menahan sembilan lelaki warga China berusia antara 25 hingga 39 tahun termasuk dalang sindiket berusia 39 tahun.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, serbuan itu dilakukan selepas menerima aduan orang ramai selain risikan oleh pihaknya sejak dua minggu lalu.
Beliau berkata, daripada sembilan yang ditahan, tujuh orang memiliki Pas Lawatan Sosial dan dua lagi memiliki Pas Khas yang masih sah.
“Serbuan sama turut menahan enam individu untuk membantu siasatan termasuk lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 19 hingga 25 tahun.
“Kami turut merampas wang tunai sebanyak RM18,000, sembilan naskhah pasport China, 11 unit monitor, lima unit komputer, 15 unit komputer riba, 33 unit telefon bimbit, enam unit router wifi dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Alphard,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket didapati menarik pelanggan dengan melakukan promosi secara rawak menerusi aplikasi Whatsapp secara rawak kepada pelanggan di Australia, Hong Kong dan China.
Jafri berkata, pelanggan yang bersetuju untuk membuat pertaruhan akan diberikan pautan untuk proses judi seterusnya.
Menurutnya, hasil keuntungan daripada judi atas talian itu membolehkan sindiket menyewa kondominium mewah dengan sewaan bulanan antara RM21,000 hingga RM25,000 sebulan.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.