SHAH ALAM: Kegiatan haram satu sindiket menjual alat perkakasan dan barangan elektrik tiruan secara atas talian sejak enam bulan lalu tumpas selepas premis mereka digempur pihak berkuasa di sekitar Klang semalam.
Sindiket itu dipercayai turut menyewa parkir sebuah pusat beli belah sebagai stor menyimpan, membungkus dan menampal pelekat jenama palsu tersebut.
Helah itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang melakukan dua serbuan bermula pukul 12 tengah hari.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, operasi khas bersepadu itu dijalankan hasil risikan pihaknya selama tiga bulan dan aduan wakil cap dagang mengenai aktiviti tersebut.
Katanya, serbuan pertama melibatkan stor simpanan yang berada di parkir tingkat sembilan sebuah pusat beli belah di bandar ini.
“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah alat perkakasan dan pelekat berjenama yang disyaki palsu.
“Rampasan itu kemudian membawa kepada serbuan ke sebuah gudang di Kapar yang turut melakukan kegiatan sama,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, petang ini.
Jelas Mohd. Zuhairi, rampasan itu turut melibatkan barangan elektrik dan nilai keseluruhannya berjumlah RM26,685.
“Sitaan dilakukan ke atas semua barang rampasan dan akan disimpan di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang proses siasatan,” ujarnya.
Tambah beliau, potensi kesalahan melibatkan cap dagangan berdaftar dan boleh disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.