JOHOR BAHRU: Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa tumpas apabila lapan individu termasuk dalangnya ditahan dalam lima serbuan di tiga negeri, pada Rabu dan Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan bermula 6.30 petang hingga 7 pagi itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah hampir 83 kilogram (kg) bernilai RM2.73 juta.
Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor di Parit Jawa, Muar; Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Pahang.
“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah kampung sebagai transit dan stor penyimpanan dadah sebelum diseludup ke negara jiran melalui jalan laut oleh tekong laut.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 80 bungkusan plastik syabu dalam bungkusan teh Cina seberat 82.86 kg, pil ekstasi seberat 2.78 gram dan ketamin 2.5 gram dengan nilai rampasan RM2.73 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita lapan buah kenderaan, 12 motosikal, pelbagai barang kemas, jam tangan mewah dan wang tunai dengan jumlah sitaan RM1.78 juta, katanya sambil memberitahu sindiket tersebut aktif beroperasi sejak Jun tahun lalu.
Kumar berkata, semakan rekod mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah termasuk seorang suspek mempunyai rekod orang dikehendaki.
“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari hingga Rabu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sejak awal tahun hingga Khamis lalu, polis negeri ini merampas 207.58 kg dadah bernilai RM4.32 juta dan menahan seramai 1,644 individu bagi pelbagai kesalahan dadah. – UTUSAN