Siasatan tidak selesai jika Daim dibenar cabar tindakan SPRM - Utusan Malaysia

Siasatan tidak selesai jika Daim dibenar cabar tindakan SPRM

TUN DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan agensi penguat kuasa pada masa akan datang tidak akan selesai jika bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan ahli keluarganya dibenar mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan membekukan semua aset mereka.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, proses siasatan akan terganggu jika setiap tindakan agensi penguat kuasa dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Sehubungan itu, beliau berhujah agar permohonan Daim dan keluarganya bagi mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bertujuan mencabar tindakan SPRM, ditolak.

Selain Daim atau nama penuhnya Che Abdul Daim Zainuddin, turut disenaraikan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid; empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat Menara Ilham Sdn. Bhd. yang memiliki bangunan terlibat.

Shamsul berhujah demikian mewakili Peguam Negara dan SPRM ketika membantah permohonan bekas Ahli Parlimen Merbok itu dan ahli keluarganya untuk mendapat kebenaran mencabar tindakan agensi berkenaan.

DICABAR

Beliau selanjutnya menyatakan, kuasa SPRM untuk menyiasat Daim dan keluarganya tidak boleh dicabar di mahkamah kerana tindakan itu akan membuka lebih banyak ruang untuk pertikaian selain menyebabkan huru-hara dan kekacauan umum.

Hujah beliau, kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan aset adalah salah satu daripada mekanisme siasatan agensi berkenaan.

“Mahkamah terdahulu dalam membuat keputusan berkali-kali mengingatkan bahawa kebenaran semakan kehakiman terhadap siasatan jenayah akan menyebabkan `kebanjiran’ tindakan itu di mahkamah,” kata beliau.

Sementara itu, peguam Tan Sri Tommy Thomas yang mewakili Daim dan keluarganya berkata, SPRM tiada sebab munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa Daim melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

Beliau berhujah, Kertas Pandora tidak mendedahkan sebarang kesalahan Daim di bawah undang-undang Malaysia.

Hujahnya, SPRM bertindak secara tidak sah apabila mengeluarkan 36 notis kepada Daim dan ahli keluarganya supaya mendedahkan maklumat mengenai harta mereka yang berkaitan dengan kesalahan di bawah akta SPRM.

“Pendakwaan terhadap Daim akan memprejudiskannya kerana beliau kini berusia 85 tahun, tidak adil untuk mengharapkannya mengingati semua perkara yang berlaku 26 tahun lalu,” hujah Tommy.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 4 Mac ini bagi keputusan permohonan itu.

KEHAKIMAN

Daim dan keluarganya memfailkan semakan kehakiman pada 10 Januari lalu dan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Jika mahkamah memberikan kebenaran itu, Daim dan keluarga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Menurutnya, pegangan saham beliau saja akan bernilai lebih RM50 bilion jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.

Beliau menceburi bidang perniagaan sebelum mengasaskan Syarikat Maluri Sdn. Bhd. bersama rakan kongsi lain dan terlibat dalam pembangunan hartanah pada atau sekitar 1969.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN