JOHOR BAHRU: Kertas siasatan terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang kaum India yang didakwa tidak setia kepada negara akan dilengkapkan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebaik sahaja siasatan selesai.
“Semalam kita sudah ambil percakapan Tun Dr. Mahathir dan siasatan akan diteruskan.
“Dalam masa tiga hingga empat hari lagi, mungkin kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak AGC selepas siasatan kita selesai,” katanya ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir mendakwa beliau seolah-olah diperlakukan seperti ‘penjenayah’ selepas lebih 10 kali disoal siasat oleh polis sejak beberapa tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau dilayan sedemikian kerana hanya mengeluarkan kenyataan yang tidak sebulu dengan pemerintah.
Diminta mengulas tentang dakwaan negarawan itu, Razarudin menafikan perkara tersebut, sebaliknya menegaskan polis hanya menjalankan tugas dengan meneruskan siasatan.
“Di pihak polis, kita tetap teruskan siasatan. Kalau siasatan tidak lengkap, maksudnya polis berat sebelah.
“Sebab itu, polis rakam percakapan. Kalau tidak di Bukit Aman, rakaman percakapan diambil di tempat yang sesuai sebagaimana yang Tun Mahathir mohon,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir mencetus kontroversi apabila mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka
dalam satu temu bual bersama saluran TV satelit di India.
Kenyataan beliau mendapat reaksi dan kritikan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam serta menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab. – UTUSAN