RANTAU PANJANG : Sesi persekolah di negeri ini berjalan lancar apabila 595 buah sekolah termasuk yang terjejas dengan banjir beroperasi seperti biasa.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad berkata, pada masa sama pihaknya turut membuat pemantauan di beberapa buah sekolah yang terkesan dengan bencana itu.
“Kita fokus kepada daerah Tumpat dan Pasir Mas yang terjejas banjir, Alhamdullilah semua dapat beroperasi dengan baik,” katanya ditemui pemberita ketika pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini hari ini.
Sementara itu, pelajar di SMK Rantau Panjang berharap sekolahnya tidak ditenggelami banjir sekali lagi sekiranya ada banjir gelombang ke empat.
Hal ini kerana SMK Rantau Panjang tiga kali ditenggelami air banjir tahun ini.
Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Che Sofea Che Faizul, 17, berkata, dia berharap tiada lagi gelombang banjir keempat akan berlaku sepanjang menduduki peperiksaan itu bermula 8 Januari ini.
Katanya, dia sudah bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan SPM tersebut.
Seorang lagi pelajar, Pirayuth Prawing, 20, berkata, dia akan memanfaatkan setiap masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran sebagai persiapan menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 22 Januari ini.
Katanya, hal ini kerana sepanjang banjir melanda dia tidak dapat mengulang kaji kerana terpaksa menyelamatkan barangan di dalam ruamh daripada ditenggelami air.-UTUSAN